Apabila pasangan bakal pengantin bersetuju untuk mengikat tali perkahwinan, banyak perkara yang memerlukan persediaan. Persediaan dari segi mental, fizikal dan juga persediaan untuk majlis perkahwinan. 

Dalam majlis perkahwinan, akad nikah merupakan acara paling utama yang perlu dilakukan. Untuk memastikan akad nikah berjalan lancar, pemilihan tempat nikah, borang-borang permohonan nikah, kehadiran tok kadi dan saksi-saksi adalah amat penting.

Tapi jangan dilupa, persediaan baju nikah juga amat penting kerana ia merupakan titik tumpuan utama dalam majlis tersebut. Nak memilih baju nikah ini bukan boleh dibuat sambil lewa.

Silap hari bulan, pakaian nikah anda nampak tidak sesuai dengan tubuh badan. Malah jika tidak berhati-hati, pilihan baju nikah tersebut tidak kena langsung dengan tema majlis pernikahan anda.

Tak perlu risau. Berikut adalah beberapa idea pemilihan baju nikah yang menarik untuk dijadikan inspirasi ketika memilih baju nikah terbaik untuk majlis bahagia anda.


baju-nikah-serba-putih

1. Baju Nikah Serba Putih

Jika tak mahu pening kepala memikirkan warna dan rekaan baju nikah, pilih sahaja baju nikah simple dengan tema serba putih.

Jadikan baju kurung tradisional mahupun baju kurung moden berona putih sebagai pilihan anda. Padankan dengan selendang putih, veil polos dan kasut putih, anda sudah bersedia untuk tampil anggun.

Bakal pengantin lelaki pula pasti nampak segak dengan pemilihan baju melayu moden beserta samping bercorak yang senada warnanya dengan baju nikah pengantin perempuan.

Lengkapkan penampilan anda dengan sapu tangan di poket dan nah! Anda sudah kelihatan menyerlah sebagai Raja Sehari.


2. Baju Nikah Muslimah

Bagi yang mahu tampak lebih ayu dan sopan, anda boleh memilih untuk memakai baju nikah muslimah.


baju-muslimah
Baju Muslimah

Fesyen baju pengantin muslimah sekarang sudah up-to-date. Rekaan baju muslimah masa kini lebih kontemporari tapi masih lagi mengekalkan adab sopan serta patuh syariah. Anda boleh jahit atau tempah sahaja baju muslimah yang sedia ada di butik.

Ada pelbagai jenis baju muslimah yang anda boleh pilih. Baju muslimah baju kurung potongan longgar, jubah, kebarung, kebaya labuh, gaun kembang ataupun dress meleret. Yang penting, ianya harus menutup aurat, tidak ketat dan tidak jarang.

Jubah Nikah Lelaki Dan Kurta

Untuk nampak lebih sepadan dengan pengantin perempuan dan kena dengan tema majlis, pengantin lelaki boleh juga mengenakan jubah nikah lelaki atau kurta labuh yang berwarna sedondon dengan pasangan.

Trend fesyen jubah lelaki dan kurta sudah cukup berkembang baik dari segi design ataupun modelnya. Ada jubah dengan kain yang lembut dan ada juga jubah jenis coat dengan kain yang agak tebal. Pastikan anda pilih jubah nikah lelaki atau kurta yang sepadan dengan badan anda untuk nampak lebih segak.


3. Baju Nikah Pakaian Tradisi Melayu

Dalam pelbagai rekaan baju nikah yang ada, baju tradisi kita adalah yang paling selamat. Pengantin perempuan boleh menggayakan sama ada baju kurung atau baju kebaya. Manakala pengantin lelaki pasti kacak bergaya dengan baju melayu.


baju-kurung

Baju Kurung

Baju kurung adalah pilihan fesyen yang evergreen dan tidak lapuk ditelan dek zaman. Yang penting anda tahu jenis fabrik yang sesuai dan potongan yang serasi dengan tubuh badan.

Fabrik baju kurung berwarna plain tanpa corak adalah pilihan terbaik. Anda boleh hiaskan baju kurung dengan sulaman bunga ataupun taburan manik-manik mengikut warna fabrik.


baju-kebaya
Baju Kebaya

Baju kebaya juga pilihan yang terbaik untuk majlis pernikahan. Anda akan kelihatan anggun dan manis berbaju kebaya full lace ataupun dengan perincian sulaman renda di bahagian hujung tangan dan hujung baju.

Untuk tampil lebih mewah, anda juga boleh gunakan fabrik songket untuk baju kebaya anda. Penggunaan aksesori dokoh tembaga, pending dan cucuk sanggul pasti menaikkan lagi seri dan aura pengantin Melayu. 


Dokoh

Dokoh adalah perhiasan wanita yang dipakai di bahagian leher. Ia mempunyai tiga atau lebih plat. Kebiasaanya ia diperbuat daripada timah, tembaga atau logam. Ia sering digayakan dengan baju kebaya.


pending

Pending

Pending adalah perhiasan yang dipakai di bahagian pinggang. Pending dipakai bersama-sama tali pinggang yang diperbuat daripada emas, perak atau tembaga. Pending ini dijadikan sebagai kepala tali pinggang. Ianya dihiasi dengna motif-motif flora dan fauna yang amat halus buatannya.


cucuk-sanggul

Cucuk Sanggul

Cucuk sanggul adalah perhiasan kepala bagi wanita bagi mendandan rambut yang panjang mengurai dan lebat. Hulu cucuk sanggul mempunyai corak hiasan yang diukir dengan bentuk yang menarik.

Baju Melayu Tradisional

Pengantin lelaki pula pasti akan tampak segak dengan busana baju tradisi Melayu iaitu baju melayu tradisional. Baju melayu sudah menjadi pilihan utama dalam majlis pernikahan bagi mempelai lelaki. 

Baju melayu tradisional dilihat agak longgar dan selesa. Terdapat dua jenis baju melayu tradisional yang boleh anda pilih iaitu baju melayu cekak musang dan baju melayu teluk belanga.


baju-melayu-moden

Baju Melayu Moden

Sesuai dengan peredaran zaman, baju melayu moden kini direka tanpa pesak supaya ianya terletak rapi dan segak pada badan si pemakainya. Baju melayu moden dilihat lebih kemas kerana ianya dijahit mengikut bentuk badan pengantin lelaki.

Jangan lupa gayakan samping yang bercorak sepadan dengan warna baju melayu. Lebih menarik jika anda memilih samping yang dihasilkan daripada kain tenun. Corak tenun lebih cantik dan tampil lebih menyerlah untuk dipakai di hari istimewa.


baju-nikah-badan-beruniform
4. Baju Nikah Badan Uniform 

Bagi yang menjawat jawatan dalam badan beruniform, anda boleh memakai pakaian uniform rasmi untuk majlis pernikahan. Jarang-jarang dilakukan oleh pengantin lain. Jadi inilah masanya untuk majlis anda tampil jauh lebih berbeza daripada pernikahan yang biasa.

Antara pakaian badan beruniform yang boleh dikenakan semasa hari pernikahan adalah pakaian uniform polis, tentera, bomba dan jururawat.

Tapi untuk pakaian uniform seperti polis dan tentera, anda tidak boleh sewenang-wenangnya memakai uniform tersebut jika anda bukan ahlinya. Ada akta yang perlu dipatuhi.


baju-nikah-moden
5. Baju Nikah Moden

Ramai bakal pengantin kini lebih menyukai busana nikah yang lebih moden dan serba ringkas.

Dress Atau Gaun

Jika anda berkira-kira untuk mengadakan majlis pernikahan bertemakan moden kotemporari, anda boleh memakai gaun atau dress labuh beserta veil polos. Namun, anda harus berhati-hati dalam memilih jenis gaun atau dress yang sesuai dengan bentuk tubuh anda.

Suit Atau Kot

Bagi bakal pengantin lelaki pula, lengkapkan gaya moden anda dengan memakai suit atau kot. Pilihan tie, bow tie atau boutonniere akan menambahkan lagi gaya segak anda di hari bahagia ini.


6. Baju Nikah Warna Trending

Baju nikah berwarna putih sudah terlalu biasa. Apa kata anda keluar dari kebiasaan ini dan pilih baju nikah yang berwarna selain daripada putih contohnya seperti warna pastel atau warna yang lebih garang.


warna-pastel
Warna Pastel

Warna pastel adalah warna yang biasanya terdiri daripada warna-warna cerah. Antara warna pastel yang selalu menjadi pilihan para pengantin untuk hari pernikahan mereka adalah dusty pink, baby blue, soft yellow, mint dan peach.


warna-hangat
Warna Hangat

Frasa warna hangat digunakan untuk menggambarkan warna yang terang atau berani. Warna hangat adalah warna yang menyerlah dan boleh menjadi luar biasa. Contoh warna hangat termasuk merah, kuning dan oren.


warna-sejuk
Warna Sejuk

Frasa warna sejuk digunakan untuk menggambarkan warna yang aman atau menenangkan. Warna sejuk tidak terlalu kuat dan tidak begitu menyerlah. Contoh warna sejuk termasuklah hijau, biru dan ungu.

Busana nikah biasanya akan dibuat khas kerana ia merupakan waktu yang paling bermakna terutamanya untuk pengantin perempuan. Kini terdapat banyak inspirasi baju nikah yang boleh anda rujuk. Anda cuma perlu pandai memilih mana satu yang serasi dengan anda.

Sumber :  Bloh NikahSatu